Tuesday, October 2, 2012

DISKAUN PTPTN 20 PERATUS | DISKAUN PTPTN 10 PERATUS

DISKAUN PTPTN 20 PERATUS | DISKAUN PTPTN 10 PERATUS, DISKAUN PTPTN  20% - Kerajaan akan memperkenalkan beberapa insentif pemberian diskaun bagi memudahkan proses pembayaran balik pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN). Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, menerusi insentif pertama, diskaun 20 peratus akan diberikan ke atas jumlah pinjaman bagi peminjam yang menyelesaikan hutang sekali gus dalam tempoh setahun bermula 1 Oktober ini sehingga 30 September tahun depan. Beliau yang juga Menteri Kewangan menambah, bagi peminjam yang membayar secara konsisten mengikut jadual mulai 1 Oktober ini pula diskaun 10 peratus setahun akan diberikan.
"Ia adalah satu keistimewaan, bukan satu hak. Jika hutang PTPTN tidak dibayar, ia akan menafikan hak-hak pelajar masa depan. Kita tahu ada pihak yang mencadangkan supaya hutang keseluruhan PTPTN dimansuhkan. "Ini adalah perbuatan yang amat tidak bertanggungjawab kerana jika dimansuhkan, siapa yang akan menanggung lebih RM30 bilion hutang PTPTN? Bukankah yang akan terbeban adalah rakyat Malaysia? Bertanggungjawabkah kita yang berhutang, masyarakat yang menanggung? Itulah persoalannya," katanya sewaktu membentangkan Bajet 2013 di Dewan Rakyat hari ini.
Dalam perkembangan lain, beliau mengumumkan peruntukan tambahan sebanyak RM1 bilion di bawah Tabung Khas Pembinaan, Penambahbaikan dan Penyelenggaraan Sekolah bagi membaik pulih bangunan sekolah, penyelenggaraan, pembelian peralatan dan pembinaan blok tambahan. Menurut Najib, ia sebagai komitmen berterusan kerajaan selepas peruntukan sama disediakan kepada tabung khas berkenaan menerusi pembentangan bajet tahun lalu.Menurutnya, daripada jumlah peruntukan tambahan berkenaan, RM400 juta akan disalurkan kepada sekolah kebangsaan manakala masing-masing RM100 juta untuk sekolah jenis kebangsaan Cina dan Tamil, sekolah mubaligh, sekolah agama bantuan kerajaan, sekolah berasrama penuh dan Maktab Rendah Sains Mara. "Untuk Bajet 2013, sebanyak RM38.7 bilion diperuntukkan kepada Kementerian Pelajaran meliputi peruntukan mengurus dan pembangunan bagi Bajet 2013.

"Berdasarkan kepada peruntukan itu, langkah meningkat daya saing dan kualiti guru merupakan prasyarat kritikal yang menunjang kejayaan sistem pendidikan negara," katanya. Menurut Najib, selain peruntukan itu kerajaan akan menyediakan peruntukan tambahan sebanyak RM500 juta bagi meningkatkan kemahiran guru dalam pengajaran mata pelajaran teras iaitu Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Sains dan Matematik melalui pendekatan Higher Order Thinking Skills. Bagi pendidikan awal kanak-kanak pula, jelas beliau, sebanyak RM1.2 bilion disediakan untuk pendidikan prasekolah termasuk kepada Jabatan Kemajuan Masyarakat, Kementerian Pelajaran, Permata Negara serta Jabatan Perpaduan dan Integrasi Nasional.
Sebagai tambahan ujarnya, sebanyak RM380 juta disediakan di bawah Kementerian Pelajaran untuk penempatan guru prasekolah.Bagi kanak-kanak orang kurang upaya (OKU) daripada keluarga berpendapatan rendah pula, menurut beliau, kerajaan akan melaksanakan projek perintis taska OKU.
"Pada 2013 juga, sejumlah RM3.7 bilion akan disediakan untuk melatih pelajar dalam bidang teknikal dan vokasional. "Kerajaan juga memperuntukkan RM40 juta kepada Perbadanan Tabung Pembangunan Kemahiran bagi memberi pinjaman kepada pelatih untuk menjalani latihan kemahiran," katanya.


No comments: