Friday, November 4, 2011

PEMBELAJARAN SAINS DAN MATEMATIK DALAM BAHASA INGGERIS (PPSMI) | PELAJAR PPSMI DIBERI PILIHAN TERUSKAN DALAM BAHASA INGGERIS




Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) | Kerajaan bersetuju membenarkan murid kohort Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) untuk meneruskan pembelajaran kedua-dua mata pelajaran itu dalam bahasa Inggeris sehingga Tingkatan Lima.
  
Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata ini bermakna murid kohort PPSMI boleh memilih sama ada untuk meneruskan Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris, bahasa Malaysia atau dalam kedua-dua bahasa apabila mereka memasuki Tingkatan 1 bermula tahun depan.

"Jadi pengajaran dan pembelajaran matematik dan sains di sekolah rendah hanya akan dilaksanakan sepenuhnya dalam bahasa Malaysia pada 2016 manakala di sekolah menengah adalah pada 2021.

"Dengan keputusan itu, pemansuhan PPSMI adalah kekal. Kerajaan tidak bercadang untuk melaksanakan semula PPSMI seperti yang dituntut oleh sesetengah pihak," katanya dalam sidang media di sini hari ini.

Beliau berkata kerajaan  berharap dengan keputusan membenarkan kohort PPSMI untuk meneruskan pembelajaran dalam bahasa Inggeris sehingga tamat Tingkatan 5 dapat melegakan ibu bapa.

Muhyiddin yang juga menteri pelajaran berkata perkara itu diputuskan dalam mesyuarat Kabinet hari ini.

Muhyiddin berkata kerajaan yakin dengan keputusan itu, pencapaian murid kohort PPSMI dalam peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR), Penilaian Menengah Rendah (PMR) dan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tidak akan terjejas.

Dengan pemansuhan PPSMI kelak, beliau berkata murid di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) akan mengikuti pengajaran Matematik dan Sains dalam bahasa Cina dan bahasa Tamil di Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT).

Sementara itu, Muhyiddin berkata kajian Kementerian Pelajaran ke atas semua sekolah di bawah kementerian menunjukkan bahawa kebanyakan sekolah telah  melaksanakan pengajaran dan pembelajaran sains dan matematik dalam Bahasa Malaysia.
Beliau berkata kajian menunjukkan kurang lima peratus daripada jumlah kelas di 7,495 buah sekolah rendah menggunakan bahasa Inggeris sepenuhnya dalam pengajaran dan pembelajaran matematik dan sains.

"Manakala di peringkat sekolah menengah, kurang sembilan peratus daripada jumlah kelas di 2,192 buah sekolah menggunakan bahasa Inggeris dalam pengajaran dan pembelajaran matematik dan sains.
"Dapatan kajian ini membuktikan bahawa PPSMI tidak dapat dilaksanakan sepertimana yang dihasratkan," katanya.

Menurutnya, hasil kajian lapangan yang dijalankan kementerian menunjukkan pengalaman guru dan amalan di bilik darjah serta temu bual dengan murid-murid mendapati murid sukar memahami mata pelajaran matematik dan sains dalam bahasa Inggeris.

"Pemansuhan PPSMI tidak bermakna kerajaan mengabaikan kepentingan penguasaan Bahasa Inggeris," katanya.

Untuk meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris di kalangan murid, Muhyiddin berkata pelbagai inisiatif baru dan lebih efektif sedang dilaksanakan di bawah Dasar Memartabatkan Bahasa Malaysia dan Memperkukuhkan Bahasa Inggeris (MBMMBI).

Antara inisiatif itu, katanya ialah penambahan masa pengajaran dan pembelajaran Bahasa Inggeris, penambahbaikan kurikulum Bahasa Inggeris di bawah pelaksanaan Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR) dan daripada segi penyediaan guru.

Inisiatif lain termasuk pengambilan penutur jati bagi meningkatkan kapasiti pensyarah dan guru Bahasa Inggeris, penyediaan bahan sokongan berkualiti seperti bahan bacaan tambahan dan bahan digital bagi menyokong pelaksanaan pengajaran dan pembelajaran di bilik darjah, katanya.
- Bernama    

p/s kohort ni apa yer..ada sesiapa yang boleh bagitahu tak ????

3 comments:

Yatie Awang said...

pada pandangan kakak, pembelajaran dalam bahasa ingeris boleh diterimakan, bagus untuk kanak2

simanis said...

Bagi mereka yang tidak berada dalam profesion perguruan, mereka tidak mengetahui pelbagai masalah yang dilalui oleh guru guru dan anak anak di sekolah...

Bagi murid murid bandar, mereka yang lemah bahasa inggeris nya dengan mudah dapat dihantar ke kelas tusyen berbayar. Tapi bagi mereka di luar bandar? Yang mana rata ratanya tidak menggunakan bahasa inggeris sebagai bahasa pengantar di rumah?? Untuk belajar bahasa inggeris pun mereka sudah separuh nyawa, ditambah pula subjek sains dan matematik di mana terdapat penambahan vocabulary dalam setiap istilahnya.

Pencapaian murid murid di luar bandar sangat menyedihkan jika dibandingkan dengan pencapaian mereka sebelum era PPSMI bermula...

Syukurlah segalanya sudah dipulihkan kembali sebelum keterlanjuran besar terjadi dalam bangsa Malaysia sendiri...

Maaf, panjang...

duan lang said...

duk ikut tlunjuk beberapa org ibubapa tu knp...sdangkan masih rmai lg yg kat luar bndar ni, ada ke tanye...ade ke tmubual cikgu?klau ade, dr semua tmpat ke?dr pdalaman ade ambil kira?bahasa ibunda lg mmbantu...mereka yg xreti nak berbhasa melayu dgan baik la tu duk nak ppsmi trus....sigh~