Friday, November 18, 2011

WOW !!! SHAZ BERCINTA DENGAN NEELOFA KE....???






FILEM Azura yang menggandingkan penyanyi Jamal Abdillah dan Fauziah Datuk Ahmad Daud atau Ogy telah mencetuskan satu fenomena baharu dalam industri perfileman tempatan sekitar era 80-an. Memaparkan sebuah kisah tentang cinta antara dua darjat yang digarap cukup menarik, maka tidak hairanlah filem arahan Deddy M. Borhan itu terus diminati dan menjadi tontonan ramai setiap kali ditayangkan di televisyen.

Namun begitu, selepas 27 tahun filem terbitan Sabah Film Production itu dihasilkan, ternyata ia telah menarik minat seorang pengarah yang cukup terkenal iaitu Aziz M. Osman mengadaptasi filem Azura untuk versi 2011.  Biarpun jalan ceritanya agak berbeza berbanding versi terdahulu, namun ia masih lagi mengekalkan tema yang sama iaitu mengenai kisah cinta yang terjalin di antara seorang gadis miskin dan lelaki yang dilimpahi dengan kemewahan.

Untuk versi baharu, ia mengisahkan tentang Azura, seorang gadis yang gigih hadapi cabaran hidup untuk mencapai cita citanya. Dia tinggal bersama ibu saudaranya, Yusni, setelah kedua-dua ibu bapanya terkorban ketika tragedi terowong Mina di Mekah pada 1990. Sementara Zek pula membesar sebagai anak orang kaya sehinggakan kemanjaan dan kemewahan membuat Zek tidak mampu menahan diri daripada godaan. Dia sentiasa dikelilingi dengan manusia yang mahu mengambil kesempatan.

Selain menampilkan jalan cerita berbeza, ia turut menampilkan dua orang pelakon baharu yang semakin meningkat naik dan dikenali ramai iaitu Shahz Jaszle dan Neelofa yang memikul tanggungjawab sebagai watak utama.

Bagaimanapun, apa yang menarik sepanjang penggambaran filem Azura berlangsung, terdapat khabar angin yang mengatakan tentang wujudnya kisah cinta lokasi yang membabitkan Shahz dan Neelofa. 

Sememangnya Shahz dan Neelofa dilihat cukup mesra bersama dan digosip bercinta sebelum ini, tetapi ia mencalar kontroversi apabila tiba-tiba Shahz yang sebelum itu dikatakan bercinta dengan aktres veteran jelita, Maria Farida dengan mudah beralih cinta pula kepada seorang lagi pelakon baharu, Miera Liyana.

Percintaan antara Shahz dan Miera digosip bercinta selepas mereka sama-sama membintangi filem Rentaz dan kedua-dua Shahz dan Miera tampil mengesahkan sememangnya mereka kini sedang bercinta! Malah, pada majlis pelancaran filem Azura di Berjaya Times Square, Kuala Lumpur kelmarin, Shahz sebaliknya mengakui sememangnya dia terpikat kepada Neelofa ketika mereka sama-sama menjalani penggambaran filem tersebut. 

Namun kata Shahz, hatinya terpikat kepada Neelofa atas dasar karakter Azura yang dilakonkan Neelofa dalam filem itu.  Shahz tidak mahu peminat salah sangka kerana apa yang dimaksudkannya itu adalah dia terpikat dengan karektor Azura itu sendiri yang berhasil dibawakan dengan baik sekali oleh aktres jelita itu.

"Memang saya sangat tertarik dengan watak Azura itu dan saya puji Neelofa kerana dia mampu menjiwai watak tersebut dengan berkesan. Sehinggakan saya rasa tidak sukar untuk mencari keserasian walaupun kali pertama bergandingan bersama," jelasnya.Shahz lantas menegaskan dia dan Neelofa tidak pernah menjalinkan hubungan cinta sekali gus menafikan gosip percintaan mereka yang tersebar selama ini.

"Sebenarnya saya ingin menyatakan yang memang kami tidak pernah menjalinkan hubungan percintaan seperti yang didakwa sesetengah pihak. Hubungan kami pada masa itu agak rapat, tetapi tidaklah sampai bercinta. "Lagipun kami hanya rapat di lokasi dan tidak pernah keluar berdua bersama. Sebaik sahaja selesai menjalani penggambaran filem Azura, kami terus membawa haluan masing-masing dan agak jarang berhubung," katanya.

Neelofa tidak ketinggalan meluahkan rasa tentang isu gosip cintanya dengan Shahz itu.  Dia menganggap gosip tentang percintaan mereka sebelum ini adalah disebabkan kerana ketika itu dia tidak mempunyai kekasih, manakala Shaz pula sedang berhadapan dengan masalah bersama bekas kekasihnya iaitu Maria Farida.

Jelasnya, dia yakin gosip cintanya dengan Shaz yang pernah ditimbulkan sebelum ini tidak akan berlaku seandainya dia sudah mempunyai kekasih sewaktu mereka berdua menjalani penggambaran filem Azura."Saya sendiri tidak tahu hendak cakap macam mana, mungkin juga saya adalah mangsa keadaan kerana status saya yang solo. Namun, saya memang menganggap Shaz tidak lebih daripada rakan sesama artis.