Friday, December 30, 2011

MAYBANK PILIHAN MAJIKAN NO 1 DI MALAYSIA

Maybank bukan sahaja berupaya menawarkan peluang pekerjaan kepada orang ramai tetapi juga sebuah kerjaya yang membolehkan mereka diberi peluang mencapai aspirasi masing-masing. Perkara itu terbukti apabila Maybank dinobatkan sebagai Majikan Pilihan No. 1 di Malaysia menerusi kajian yang dikendalikan oleh para graduan pada Pameran Kerjaya Graduan Aspire 2011 sebelum ini.
Maybank turut muncul sebagai Peneraju bagi Anugerah 100 Majikan Graduan di Malaysia bagi kategori perkhidmatan perbankan dan kewangan dalam kaji selidik  oleh GTI Media membabitkan seramai 12,000 graduan daripada universiti tempatan dan luar negara.
Malah, Ketua Modal Insan Kumpulan Maybank, Nora Abdul Manaf berkata, perkara itu juga boleh dinilai menerusi Hari Kerjaya Maybank yang menarik lebih 5,000 pengunjung dari seluruh negara. “Maklum balas menggalakkan yang diterima daripada pengunjung itu menunjukkan daya tarikan Maybank sebagai majikan pilihan.
“Bilangan pengunjung yang menghadiri Hari Kerjaya Maybank jelas mengukuhkan kedudukan Maybank sebagai majikan pilihan utama Malaysia menerusi tinjauan yang diadakan baru-baru ini,” katanya melalui satu kenyataan media hari ini. Mengulas lanjut Hari Kerjaya Maybank, Nora berkata, program itu kali pertama dianjurkan oleh sebuah institusi kewangan di negara ini membabitkan seluruh operasi perniagaan Maybank termasuk operasi luar negaranya.
Menurutnya, Hari Kerjaya Maybank menggunakan pendekatan berbeza bagi meyakinkan calon-calon berpotensi menyertai Maybank menerusi pendedahan mengenai falsafah organisasi, aspirasi, budaya, model perniagaan dan pembangunan tenaga insan selain capaian global Maybank. Jelasnya, Hari Karnival itu turut membuktikan kepada pengunjung bahawa Maybank bukan sahaja menawarkan peluang pekerjaan tetapi juga kerjaya yang membolehkan warga kerjanya diberikan peluang untuk mencapai aspirasi masing-masing.
“Peluang ini terbuka menerusi pelbagai rangka kerja pembangunan kerjaya termasuk peluang untuk bekerja di 17 lokasi operasi kami di seluruh dunia,” katanya. Maybank turut menyediakan saluran elektronik kepada kepada mereka yang mahu mengemukakan butiran peribadi dan kelulusan masing-masing. Hingga akhir pameran, lebih daripada 2,700 e-Resume telah dikemukakan, katanya.mynewshub

No comments: