Friday, August 19, 2011

Entry info | khutbah jumaat dari Masjid Negara bacalah untuk manfaat kita bersama insyallah.





Assalamualaikum dan salam sejahtera, selamat hari Jumaat kepada sahabat dan seluruh umat islam di Malaysia. Kepada mereka yang mungkin tidak berkesempatan untuk mendengar khutbah hari ini khususnya kaum hawa. Aku tampalkan disini khutbah jumaat dari Masjid Negara untuk, sebelum   pergi shopping sementara kaum Adam menunaikan jumaat, kalau boleh luangkan masa untuk baca  kerana ianya bermanfaat untuk kita semua. 


Muslimin Yang di Rahmati Allah,
Hari dan minggu berlalu begitu cepat, tanpa disedari kini kita sudahpun berada pada hari ke 19 Ramadhan. Maka sepuluh terakhir Ramadhan ini adalah masa yang cukup bernilai dan berharga yang perlu direbut oleh kita semua sebagai insan yang beriman dan bertakwa kepada Allah SWT, kerana masa yang terakhir inilah yang akan menentukan samada puasa kita ini mendapat keberkatan dan menjadi penebus segala kesalahan dan dosa yang telah dilakukan selama ini. Inilah masanya yang Allah SWT janjikan kepada kita semua sekiranya kita benar-benar beriman kepada-Nya sebagaimana sabda Rasulullah SAW :


Maksudnya: “ Bulan Ramadhan juga ialah bulan yang awalnya di penuhi rahmat, pertengahannya di penuhi dengan keampunan dan akhirnya di penuhi dengan pahala yang menjadi penebus api neraka ”.(Riwayat Muslim) 

Kita sedia maklum bahawa  dalam bulan Ramadhan terdapatnya satu malam yang dinamakan Lailatul Qadar . Pahala beribadat pada malam itu menyamai pahala seribu bulan. Allah SWT menganugerahkan pahala yang besar itu adalah sempena penurunan al-Quran dari Luh Mahfuz ke Baitul Izzah. Dari Baitul Izzaah inilah al-Quran beransur-ansur  diturunkan kepada Rasulullah SAW melalui Jibril.  Firman Allah SWT  dalam surah al-Qadr ayat 1-5:

Maksudnya: “ Sesungguhnya kami telah menurunkan Al-Quran ini pada malam Lailatul Qadr, dan apa jalannya yang engkau dapat mengetahui, apa dia kebesaran malam lailatul Qadr itu? malam lailatul Qadar itu lebih baik dari seribu bulan. Pada malam itu turun Malaikat dan Jibril dengan izin Tuhan mereka. kerana membawa segala perkara yang ditakdirkan berlakunya pada tahun yang berikut. sejahteralah malam yang berkat itu sehingga terbit fajar ”.  
 

Berdasarkan ayat tersebut, jelaslah bahawa Lailatul al-Qadar mempunyai kelebihan yang begitu besar, maka seharusnya kita berusaha dan tidak mensia-siakan peluang malam yang dijanjikan itu. Bagi orang yang beriman mereka berazam mencari peluang yang disediakan dengan berlumba-lumba untuk bangun di malam yang hening dengan penuh keimanan dan mengharapkan pahala dari Allah SWT  sepertimana sabda Rasulullah SAW :

Maksudnya:  “ Carilah Lailatul Qadar pada malam-malam ganjil pada sepuluh hari yang terakhir pada bulan Ramadhan. ” (Riwayat al-Bukhari)
 

Muslimin Yang di Rahmati Allah,
Rasulullah SAW apabila berada pada 10 malam yang terakhir beliau menghidupkan malam-malam tersebut dengan melakukan ibadat kepada Allah SWT sebagaimana yang diriwayatkan oleh  Saidatina Aisyah RA: “ Sesungguhnya Nabi SAW. apabila masuk 10 akhir bulan Ramadhan Baginda mengikat kainnya. Menghidupkan malam dengan beribadah dan membangunkan keluarganya untuk sama-sama beribadah. Mengikat kainnya bermaksud bersungguh-sungguh mengerjakan ibadah ”.

Menurut beberapa hadith lagi yang diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim yang memetik penerangan Saiyidatina Aisyah RA bahawa di antara pengkhususan ibadat yang dilakukan oleh Rasulullah SAW ialah  Baginda  mandi di antara waktu Maghrib dan Isya’, berpakaian indah serta senantiasa berharum-haruman sepanjang 10 malam terakhir. Rasululullah SAW juga melakukan iktikaf di masjid. Baginda memasuki masjid sebelum waktu Maghrib, melaksanakan solat secara berjemaah di samping mengamalkan ibadat-ibadat yang lain seperti membaca al-Quran dan memperbanyakkan doa kepada Allah SWT. Beriktikaf bererti berada sesaat atau sepanjang malam di masjid untuk mendekatkan diri kepada Allah SWT. Pada waktu beriktikaf Rasulullah SAW memutuskan hubungan dengan manusia dan aktiviti lain bagi memenuhi hati bermunajat, berzikir dan berdoa kepada Allah SWT. Rasulullah SAW tidur berasingan dengan isteri pada 10 malam terakhir untuk memberi tumpuan beribadat kepada Allah SWT.

Memasuki fasa ketiga bulan yang penuh keberkatan dan kemuliaan ini, maka mimbar menyeru, marilah kita menggunakan peluang dan tawaran yang berharga ini bagi menambahkan bekalan akhirat lebih-lebih lagi pada 10 malam terakhir daripada bulan Ramadhan yang mempunyai banyak kelebihannya. Lailatul Qadar adalah malam yang amat ditunggu-tunggu oleh mereka yang menginginkannya kerana ia hanya berlaku pada satu malam sahaja sepanjang tahun. Maka beruntunglah siapa yang memperolehinya dan rugilah siapa yang melepaskannya.

Di samping itu dalam fasa yang ketiga ini juga kita dituntut mempertingkatkan amal-amal soleh dan kebajikan seperti beriktikaf di masjid-masjid, bertadarus al-Quran, memperbanyakakn zikir-zikir, memperbanyakan solat-solat sunat dan melakukan sedekah samada kepada fakir miskin,anak yatim dan sesiapa sahaja yang memerlukan bantuan.  Sebagaimana yang diriwayatkan bahawa Rasulullah SAW di sepanjang bulan yang mulia ini tangannya sentiasa terbuka untuk memberikan bantuan kepada orang-orang yang memerlukan. Kita juga dituntut memperbanyakkan berdoa terutama doa khusus untuk malam Lailatul Qadar sepertimana yang diriwayatkan daripada Saidatina Aisyah RA:

Maksudnya: “Saya pernah bertanya kepada Rasulullah SAW seandainya saya mengetahui malam Lailatul Qadar dengan tepat. Apa yang patut saya akan doakan pada saat itu. Baginda menjawab berdoalah dengan doa berikut: "Ya Allah Ya Tuhanku sesungguhnya Engkau Maha Pengampun dan sentiasa memberi keampunan di atas kesalahan hamba-Mu oleh itu maafkanlah segala kesalahanku . ” (Riwayat Abu Daud)
 

Muslimin Yang di Rahmati Allah,
Ketika kita memberi perhatian khusus beribadat pada 10 malam terakhir namun terdapat sebilangan umat Islam tidak memberi perhatian berat dan mengambil kesempatan. Mereka lalai dengan kesibukan  urusan lain seperti membuat persedian untuk menyambut hari raya. Kebiasaannya kita dapat melihat pada malam 10 terakhir ini, masjid-masjid menjadi lengang dan sepi, para jemaah solat tarawih semakin berkurangan, pasaraya-pasaraya menjadi tempat tumpuan, suri rumah pula sibuk dengan persedian  untuk hari lebaran seperti mengemas rumah, membuat kuih muih sehinggakan ada dikalangan mereka tidak melakukan ibadat puasa kerana keletihan. Bahkan terdapat juga para peniaga bazar Ramadhan yang asyik ghairah meraih keuntungan di saat-saat akhir ini. Mimbar ingin menyatakan bahawa suasana yang sebegini sebenarnya tidak sepatutnya dilakukan oleh kita kerana tahap terakhir inilah kita mesti melipat-gandakan ibadat dengan tidak mensia-siakan peluang yang ada, kerana kita belum pasti lagi sama ada kita berpeluang atau tidak untuk terus bersama dengan Ramadhan pada tahun hadapan.

Mengakhiri khutbah pada minggu ini, mimbar menyeru marilah sama-sama kita merebut peluang keemasan yang diberi  oleh Allah SWT pada fasa yang terakhir ini. Janganlah kita lalai dengan kesibukan mengejar dunia hingga kita lupa mempersiapkan amalan soleh sebagai bekalan bertemu dengan Allah SWT. Mudah-mudahan Ramadhan yang kita tempuhi tahun ini akan menjadi titik perubahan dalam diri kita untuk menjadi insan yang bertakwa dan diredhai Allah SWT  didunia dan diakhirat. Marilah sama-sama kita hayati firman Allah SWT dalam surah al-Baqarah ayat 186:

Maksudnya: “Dan apabila hamba-Ku bertanya padamu tentang Aku maka (jawablah): sesungguhnya Aku amat hampir; Aku perkenankan permohonan orang yang berdoa apabila ia berdoa kepadaKu. Maka hendaklah mereka menyahut seruan-Ku, dan hendaklah mereka beriman kepada-Ku supaya mereka menjadi baik dan betul.”



sumber : http://www.masjidnegara.gov.my

4 comments:

simanis said...

terima kasih atas peringatan ini...semoga ibadat kita diterima Allah...

Terbelog said...

bagus kau dani

harrazdani said...

terbelog : aku just nak berkongsi jer...thanks baca bro.

arituarini said...

mungkin sama jugak khutbah kt sini nanti..