Friday, August 12, 2011

Khutbah Jumaat hari ini...





Muslimin Yang di Rahmati Allah,
Selari dengan bulan Ramadhan yang berkat ini saya berpesan kepada tuan-tuan dan diri saya sendiri marilah sama-sama kita bertakwa kepada Allah SWT dengan memperkukuhkan pengabadian diri kita kepada-Nya dengan melaksanakan segala perintah dan meninggalkan segala larangan-Nya. Mudah-mudahan Ramadhan kali ini menjadikan kita insan yang berjaya di dunia dan akhirat. Tajuk mimbar Jumaat pada hari ialah “ BULAN RAMADHAN BULAN AL-QURAN”.

Muslimin Yang di Rahmati Allah,
Tarikh 17 Ramadhan merupakan satu tarikh yang selalu diperingati oleh umat Islam. Pada tarikh inilah masjid-masjid dipenuhi dengan ceramah Nuzul al-Quran dan media massa, surat khabar serta televisyen tidak akan terlepas menyiarkan berita serta rancangan atau kuliah sempena memperingati Nuzul al-Quran. Memang benar bahawa setiap muslim sepatutnya memperingati tarikh penurunan al-Quran. Al-Quran merupakan sebuah kitab yang diturunkan oleh Allah SWT kepada Nabi Muhammad SAW untuk disampaikan kepada umat manusia. Firman Allah SWT dalam surah al-Baqarah ayat 185: Maksudnya: “Bulan Ramadan yang padanya diturunkan Al-Quran, menjadi petunjuk bagi sekalian manusia, dan menjadi keterangan-keterangan yang menjelaskan petunjuk, dan perbezaan (antara yang benar dan yang salah”

Imam al-Qurthubi menjelaskan, bahawa Allah SWT menurunkan al-Quran untuk menjadi petunjuk dan penjelasan bagi umat manusia. Menjelaskan kepada mereka yang halal dan haram, peringatan dan hukum-hakam, serta pembeza antara yang haq dan yang batil. Dengan demikian al- Quranlah yang seharusnya memandu dan memimpin kehidupan umat manusia.

Muslimin Yang di Rahmati Allah,
Sempena bulan Ramadhan sebagai bulan Nuzul Al-Quran ini, marilah kita dengan penuh iman dan takwa bermuhasabah diri kita, apakah kita selama ini telah mengambil al-Quran sebagaimana yang Allah SWT perintahkan atau selama ini kita hanya beriman dengan sebahagian dari al-Quran atau telah mengabaikan al-Quran? Apakah selama ini al-Quran telah benar-benar kita jadikan petunjuk, sumber hukum sekaligus sebagai penyelesai kepada segala masalah kehidupan kita? ataukah sebaliknya.

Berdasarkan pemerhatian mimbar, kebanyakkan kita berusaha menjaga jasad al-Quran. Kita tidak akan meletakkan al-Quran di lantai atau di kerusi atau lain-lain tempat yang kita rasakan tidak sesuai. Kita akan marah jika mendapati sesiapa sahaja yang tidak menjaga al-Quran. Kita turut sensitif dan merasa amat marah apabila mendengar dan melihat al-Quran dipijak, dikoyak, dibakar atau dibuang di tempat yang jijik. Kita juga tidak akan berdiam diri jika al-Quran dihina, diremeh atau dipermainkan di dalam apa bentuk sekalipun. Kita memang akan menjaga kemurnian dan kesucian al-Quran dari segala bentuk penodaan dan pemalsuan. Sebenarnya segala usaha ini sangat baik dan memang sudah menjadi tugas dan kewajiban kita yang harus kita tunaikan. Bagaimanapun kita amat merasa kesal terdapat umat Islam berusaha untuk menjaga jasad al-Quran, tetapi tidak berusaha untuk menghayati isi kandungannya dan menerapkan segala perintah dan larangannya. Umat Islam marah apabila al-Quran dihina, tetapi mereka sendiri seolah-olah seperti ‘menghina atau mengenepikan’ al-Quran dengan tidak mengamalkan apa yang terdapat di dalamnya.

Mimbar juga amat bimbang terdapat dikalangan umat Islam yang hanya menjadikan al-Quran sebagai perhiasan, disimpan baik-baik di rumah dan hanya digunakan untuk hal-hal yang berunsurkan mistik, misalnya menjadikannya sebagai azimat, tangkal, pelaris, penolak bala, pengusir syaitan dan sebagainya. Mereka juga lebih suka mengambil al-Quran sebagai sebuah ‘kitab magik’ yang boleh menguntungkan jualan, memurahkan rezeki, berubat, menghalau hantu dan pelbagai kepentingan peribadi lainnya.

Muslimin Yang di Rahmati Allah,
Mimbar  ingin mengingatkan kita semua bahawa Allah SWT menurunkan al- Quran bukan sekadar untuk dibaca, malah lebih dari itu. Membaca al-Quran adalah ibadah (sunat) dan InsyaAllah kita akan beroleh pahala kerananya, tetapi mengamalkan isi kandungannya adalah WAJIB dan sesiapa sahaja mengabaikannya maka ia telah  melakukan kesalahan dan boleh sampai ke tahap berdosa besar. Siapa sahaja yang yang tidak mengamal dengan apa yang Allah telah perintahkan, maka azab Allah akan diturunkan atau menantinya di akhirat! Bagi mereka yang tidak memikul amanat Allah SWT yang telah diturunkan-Nya melalui al-Quran, maka Allah telah membuat satu perumpamaan yang hina ke atas mereka. Firman Allah SWT dalam surah al-Jumu’ah ayat ayat 5:

Maksudnya: “Bandingan orang yang dipikulkan kepadanya Kitab Taurat, kemudian mereka tidak memikulnya, samalah seperti keldai yang memikul Kitab-kitab besar. Buruk sungguh bandingan kaum yang mendustakan ayat-ayat keterangan Allah; dan (ingatlah), Allah tidak memberi petunjuk kepada kaum yang zalim”.

Melalui ayat ini, Allah SWT menghina kaum yang tidak memikul tanggungjawab melalui wahyu yang diturunkan-Nya dengan perumpamaan seperti keldai. Bayangkanlah jika ada orang yang mengatakan kepada kita, “Anda ini seperti keldai!” Apakah perasaan kita? Apalagi yang menyatakan seperti itu ialah Allah  SWT yang kita harapkan keredhaan dan keampunan-Nya. Orang yang benar-benar beriman, bertakwa dan mengharapkan redha Allah sudah tentu akan merasa takut dan gementar akan perumpamaan tersebut.

Mimbar suka mengingatkan bahawa sesungguhnya peluang untuk menghayati al-Quran serta mengambil pedoman di dalamnya adalah kewajipan umat Islam sendiri. Persoalan besar di sini ialah apakah jawapan kita apabila Allah SWT melontarkan soalan kepada mereka yang membaca al-Quran seperti di dalam ayat 101 surah Ali-Imran:

Maksudnya: “Dan bagaimana kamu akan menjadi kafir padahal kepada kamu dibacakan ayat-ayat Allah (Al-Quran), dan dalam kalangan kamu ada RasulNya (Muhammad, s.a.w.)? Dan sesiapa berpegang teguh kepada (agama) Allah, maka sesungguhnya ia telah beroleh petunjuk hidayah ke jalan yang betul (lurus)”.

Ayat ini menunjukkan kepada kita terdapat di kalangan orang Islam menjadi kafir sedangkan al-Quran dan Sunnah berada di sisinya. Ini adalah disebabkan mereka tidak dapat menerima petunjuk Allah, justeru mereka ingkar kepada ayat Allah akan menjadi kafir.

Sesungguhnya Allah SWT memberikan penghormatan kepada kita sebagai manusia dengan kemuliaan-Nya, agar kita menjadi golongan yang mulia. Salah satu pendekatan yang mengangkat martabat umat ini ialah dengan mengamalkan ajaran al-Quran secara menyeluruh dengan menjadikan al-Quran sebagai acuan kehidupan. Oleh itu, mimbar menyeru semua pihak di dalam keberkatan Ramadhan yang mulia ini, marilah kita sama-sama mengambil manfaat untuk meningkatkan ketakwaan dan mengubah segala kelakuan buruk dengan mengamalkan segala isi kandung al-Quran agar kehidupan kita lebih diredhai Allah SWT.

Mimbar juga mengambil kesempatan sempena dengan Sambutan Hari Asean yang ke 44 pada 8 ogos tahun ini, menyeru seluruh jemaah dan umat Islam sekalian marilah sama-sama kita mempertingkatkan serta mengekalkan keamanan, keselamatan dan kestabilan di negara kita dan secara amnya dirantau Asia Tenggara. Marilah sama-sama kita memupuk perpaduan sepertimana yang dianjurkan dalam kitab suci al-Quran dengan tanpa mengira bangsa, agama dan negara kerana perpaduan yang terjalin antara kita akan memudahkan segala urusan dan membolehkan sesuatu kejayaan dihasilkan. Mengakhiri khutbah pada minggu ini marilah sama-sama kita menghayati firman Allah SWT dalam surah faatir ayat 10:

Maksudnya: “Sesiapa yang mahukan kemuliaan, maka bagi Allah jualah segala kemuliaan. Kepada-Nyalah naik segala perkataan yang baik dan amal yang soleh pula di angkat-Nya naik. Dan orang yang merancang kejahatan, adalah bagi mereka azab seksa yang berat; dan rancangan jahat mereka akan rosak binasa”.

7 comments:

Aku Afzal said...

bebetul punya khutbah jumaat ke bro?mana dapat?tapi saya kat amsterdam skrang.kat sini hari Rabu..jumaat nanti sy baca.wakakaka :D

# bagus la entry2 bro.ada rasa insaf dan nak kembali ke jalan yang benar :)

harrazdani said...

zaf : dapat dari portal masjid negara. mana ada bagus...copy jer ni...nak kongsi reramai..

cucu umie said...

tpy abg hazi kalau tidak silap ayie setiap negeri dia punya khutbah berbeza2kan.. btw, thnkx untuk khutbah ini..bnyk yg boleh diperolehi

harrazdani said...

memang berbeza-beza...ni yang masjid negara jer..dan kawasan-kawasan yang sewaktu dengannya...cuma ianya boleh kita ambil untuk panduan dan manfaat bersama.

ArulchelseA said...

sama la sabah punya khtubah td mcm ni jugak..

Anak Wak Mail said...

betulla..tadi aku terdengar khutbah jumaat ni..memang dia cakap pasal ni..hihi..:)

Selamat menyambut nuzul Quran tak lama lagi..:)

alif haris said...

alquran sepatutnya dibaca,diafahami,diamalkan isinya ..
sebagai panduan hidup ini .. ^^