Monday, February 6, 2012

KISAH DISEBALIK TERCIPTANYA LIRIK AWAN NANO | BUDDHI HEKAYAT


Awal kisahnya, Buddhi Hekayat, 36, lebih suka bermain dengan berus serta kanvas. Melakar garis, warna dan bentuk untuk membentuk lukisan. Dia ialah graduan jurusan seni halus di Universiti Teknologi Mara, Shah Alam. Minat lukisnya menjurus kepada realism. Kehendak hati dan pesan seorang guru yang mengesan satelit minatnya, lakaran warna-warni itu bertukar menjadi perkataan. Disusun kata-kata mengikut melodi. Dia nekad mengikut kekuatan dalam diri yang menjurus kepada penulisan. 

Nah, tarikh bersejarah 29 Januari lalu mengiktiraf Buddhi Hekayat sebagai seorang penulis lirik melalui lagu Awan Nano sempena Anugerah Juara Lagu Ke-26 (AJL26) di Kuala Lumpur baru-baru ini.  "Buddhi itu gabungan budi dan budaya manakala hekayat itu ialah kisah orang baik-baik," jelas Buddhi yang lebih gemar dikenali dengan nama penanya.

Lalu Awan Nano, ialah karya kedua selepas Ajaib nyanyian Spider yang memberi satu impak dan langkah yang besar buat Buddhi. Buat khalayak, pertama kali melintasi judul ini, masing-masing punya tafsiran sendiri. Lalu ditanyakan kepada empunya diri akan perjalanan lirik buat lagu sifu muzik, Datuk M. Nasir dan dinyanyi merdu oleh Hafiz. 

"Awan Nano ini slanga rakyat. Saya teringat momen emak saya melipat kain lalu melihat awan, emak kata 'tengok awan tu, nano," ujar Buddhi yang mendapat idea melalui momen ibunya yang dicampur dengan hasil menonton drama Awan Dania dan teringat juga kisah-kisah para nabi. "Daripada sudut makna, ada dua. 

Daripada sudut kerohanian, memang ada kena mengena dengan kisah Nabi Muhammad SAW yang mana sewaktu di zaman kanak-kanak, perjalanan baginda dilindungi awan. Melihat pula sudut kemanusian, Awan Nano berkisarkan kasih sayang dan sifat pelindung," cerita Buddhi ringkas tapi padat. 

Lalu dihikayatkan bahawa di sebuah rumah di Petaling Jaya, tiga tahun lalu, dia menulis lirik untuk lagu yang diberikan oleh M. Nasir ini. Sebulan durasi yang diambil dan luah Buddhi, rangka lirik ini ditulis hampir tebal sekotak rokok. Ini semua untuk perhatian dan luahan fokus kepada sebuah lagu yang dipertanggungjawabkan. 

Awan Nano siap dan diberikan semula dan dinyanyikan Hafiz, tiga nama yang bersatu menjadi juara. "Saya ingat pesan arwah Loloq, puisi dan lirik itu berlainan," katanya yang mengaku Loloq, sahabat baiknya itu tiada galang gantinya. 

"Waktu Loloq masih hidup, saya tidak menulis lirik. Saya hormati dia, tidak mahu bersaing dan arwah tahu," ujar Buddhi menjelaskan kalau-kalau ada yang sudah melihat kolaborasi baharu M. Nasir sebagai pengganti Loloq. "Saya cuma menyambung perjuangan Loloq, M. Nasir, Sani Sudin dan ramai lagu yang menulis lirik dengan perjuangan bahasa. Saya ini generasi baharu," katanya yang mula serius menulis tiga tahun lalu dan pernah menulis skrip tiga buah teater terdahulu. 

"Saya melihat penulisan dalam 10 tahun kebelakangan ini sudah hilang tradisi. Tiba-tiba penulisan menjurus kepada bahasa Indonesia. Begitu juga dengan bahasa Inggeris dan Arab yang dimelayukan. Tiba-tiba jadi berlebihan dan tidak membawa konsep baharu dalam perbendaharaan kata. Bukan menutup kepada kepelbagaian bahasa tetapi kita ada bahasa sendiri. Lihat sahaja perjuangan Munsyi Abdullah mengangkat bahasa Melayu di Nusantara," ujarnya lagi.

Penulis bertanyakan malam AJL dan impak selepas itu, mengangkat piala atas kerahan idea. Mengaku gugup, kemudian Buddhi dibawa semangat untuk terus berkarya, bukan hanya lirik tapi juga mahu menjurus kepada novel, skrip atau apa sahaja bentuk penulisan. Impak lain yang mengena kepada diri penulis lirik ini sejurus selepas AJL juga bersangkut paut dengan politik. Ucapan tahniah seorang tokoh parti pembangkang buatnya di laman Twitter menjadi buah mulut dan cerita umum. "Saya cuma nak bahagiakan semua orang. 

Sebenarnya penglibatan saya dalam politik sudah banyak berkurangan sejak kebelakangan ini. Tidak ada bezanya penglibatan saya dengan membuat lirik kerana niat saya adalah membahagikan orang. Itu sahaja. Ramai selebriti terlibat dengan politik dan itu perkara biasa. Dunia saya sekarang adalah dunia seni," penutup cerita seorang penulis lirik yang akan muncul dengan lirik Angin Syurga nyanyian Misha dan Siapa Dapat Lisa, alunan Sepahtu.kosmo

4 comments:

Unknown said...

dah menang terus femes....

Unknown said...

fuhh lagu ni memang puitis..

Terbelog said...

teringat johan buat lawak lagu ni hehe

Unknown said...

bes gak lagu ni